Archive for the ‘Tips² Menyusukan Bayi’ Category
[PANDUAN] Menyusukan Anak Untuk Ibu Bekerja – Bahagian 2 (PERAHAN)
As-salam…
Ini adalah bahagian kedua dari bahagian 1. Untuk bahagian 1 klik di sini.
MEMERAH SUSU IBU MENGAPA?
- · Ia menyebabkan bekalan susu ibu tidak putus.
- · Ia adalah makanan terbaik untuk bayi.
- · Ia mengurangkan risiko bayi terdedah kepada pelbagai penyakit dan alahan.
- · Ia mengelakkan dan mengurangkan bengkak payu dara.
- · Ia mengelakkan infeksi atau radang payu dara (mastitis).
BANYAK MANA ?
Memerah susu mungkin sukar dilakukan pada mulanya tetapi akan menjadi lebih mudah setelah dilakukan selalu. Jangan putus asa jika pada mulanya hanya memperolehi sedikit saja susu. Ibu-ibu yang sudah biasa memerah susu mereka boleh memperolehi bilangan susu yang banyak dalam 15- 20 minit. Kuantiti susu yang diperolehi berbeza-beza pada setiap masa perahan dibuat. Umur dan berat badan bayi juga akan menentukan kuantiti susu yang perlu ditinggalkan untuk bayi.
DI MANA ?
Di tempat kerja, memerah susu boleh dilakukan di mana-mana, asalkan tidak menarik perhatian ramai.
- Di ruang pejabat yang tertutup.
- Dalam bilik stor yang bersih.
- Dalam surau atau bilik sembahyang.
Sekiranya anda terpaksa memerah susu di tempat yang anda khuatiri kebersihannya, gunakanlah pam susu. Ini membantu perahan susu ibu terus masuk ke dalam botol. Ini untuk menjamin kebersihan dan mengelak daripada terdedah kepada pertumbuhan bacteria.
CARA MEMERAH DENGAN TANGAN
Sebelum memerah susu ibu, urut payu dara anda terlebih dulu. Tekankan kedua-dua belah tangan secara mendatar di atas badan di kedua-dua sisi payu dara. Lengan mestilah tegak di tepi. Sambil menekan dengan kuat, gerakkan jari secara perlahan-lahan ke bahagian puting dan areola. Untuk mengeluarkan susu dari lactiferous sinus, tekan dengan perlahan-lahan bahagian areola menggunakan ibu jari dan jari telunjuk.
KEBERSIHAN
Susu perlu diperah ke dalam bekas atau botol yang telah disterilkan. Gunakan bekas/botol yang berlainan setiap kali perahan. Bila menggunakan pam susu, pastikan setiap bahagian pam yang bersentuhan dengan susu disteril pada setiap kali ia digunakan. Harus juga berhati-hati supaya pam susu tidak digunakan dengan sedutan yang terlalu kuat. Ini boleh menyebabkan puting berasa sakit.
PAKAIAN YANG SESUAI
Ibu akan berasa selesa sekiranya berpakaian longgar serta mudah ditutup dan diangkat dari bahagian depan. Pakaian yang berzip atau berbutang dari bahagian belakang adalah TIDAK sesuai untuk memerah susu. Baju kurung atau baju Kedah dan pakaian sepasang (blaus dan skirt/seluar) memang sesuai untuk ibu yang menyusu anak mereka.
CARA MENGGALAKKAN REFLEKS LET-DOWN
Refleks let-down atau pancutan susu adalah penting untuk ibu mendapatkan susu yang banyak semasa memerah. Takungan susu tidak akan keluar sekirnya keadaan ibu tidak tenteram dan releks. Proses let-down boleh berlaku bila ibu menggambarkan wajah bayinya sedang menghisap susu semasa memerah susu. Beberapa cara untuk mendapatkan refleks let-down ialah :
- Releks dan perah susu di tempat yang sunyi dan jauh daripada segala kebisingan.
- Letakkan tuala suam ( demah) di atas payu dara.
- Urut payu dara secara perlahan-lahan dan cuba bayangkan wajah bayi anda sedang menyusu.
Jika memerah susu di rumah, tunggu selama 30 -40 minit selepas anda menyusui bayi sebelum membuat perahan. Proses ini memberi masa untuk ‘kilang susu’ membuat tambahan.
MENYIMPAN PERAHAN SUSU IBU
Sekiranya memerah susu di tempat kerja, sebaik-baiknya simpan perahan susu ibu di dalam peti sejuk. Jika di tempat anda bekerja tidak ada peti sejuk, bolehlah disimpan dengan menggunakan cara ini :- · Guna kotak ‘piknik’ yang boleh memuatkan bahan penyejuk (cooling element) dan sekurang-kurangnya dua botol susu. Ini adalah antara kaedah terbaik demi memastikan perahan susu ibu sentiasa sejuk sebelum tiba di rumah. · Gunakan ‘ flask’ air panas yang diubahsuai supaya ianya sejuk. Mula dengan memasukkan ketulan-ketulan air ke dalamnya sehari/dua sebelum anda mula bekerja. Isikan juga ketulan ais sebelum dibawa ke tempat bekerja. Buangkan semua ketulan ais sebelum isi perahan susu ibu. Cara ini lebih mudah daripada berulang-alik ke rumah untuk menyusukan bayi. Ibu perlu memerah susu 1 – 2 kali di tempat kerja untuk di bawa balik. Perahan susu ibu ini boleh disimpan di dalam peti sejuk sebaik tiba di rumah untuk keperluan esok hari. Jika menggunakan ‘flask’ yang berisi ketulan ais, pastikan bila anda memerah kali kedua/ketiga, perahan susu ibu mesti disejukkan terlebih dulu sebelum dicampur dengna perhan susu ibu sebelumnya.
BEKAS SESUAI UNTUK MENYIMPAN PERAHAN SUSU IBU
- Bekas atau botol plastik yang boleh tahan beku dan panas.
- Botol susu berukuran 120 mls.
PERAHAN SUSU IBU YANG DISIMPAN DALAM PETI SEJUK DUA PINTU SEBAIK-BAIKNYA DIHABISKAN DALAM MASA DUA MINGGU MENYEJUKKAN SUSU Letakkan bekas-bekas yang berisi PSI ke tempat penyejuk (chiller) rak pertama – BUKAN di rak di tepi pintu. (Tahan 24 jam).
MEMBEKUKAN SUSU
Buatkan seperti di atas selama 30 minit baru masukkan ke dalam tempat pembeku (freezer). Catatkan tarikh pad bekas itu (tahan hingga 3 bulan).
Diharapkan panduan asas dua bahagian ini memberi gambaran dan manfaat kepada ibu yang ingin menyusukan bayi mereka.
Jika anda punyai kemusykilan, sila berhubung dengan pakar laktasi anda. Hubungi http://www.ppplm.org/
p/s: All the best to you mommies!









